Friday, October 12, 2012

Etika Kerja Dalam Islam

Pendahuluan

Islam menuntut setiap manusia bekerja, berusaha mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga. Di samping itu Islam juga menyatakan bahawa sesuatu "pekerjaan" yang baik ialah tugas yang diamanahkan kepada seseorang insan. Maka apabila seseorang itu menjalankan tugasnya ataupun bekerja, dengan sendirinya bererti, bahawa insan tersebut sedang menunaikan amanah Allah. Menurut Islam, setiap kerja yang diredhai oleh Allah dan disertai dengan niat adalah ibadat. Oleh demikian setiap insan hendaklah menyedari dan menghayati bahawa setiap lapangan pekerjaan yang dilakukannya itu sekiranya dimulai dengan niat, ia merupakan satu ibadat.

Selain dari itu, setiap manusia hendaklah insaf bahawa menurut ajaran Islam setiap kegiatan kita di dunia ini akan diperhitungkan di akhirat nanti sebagaimana ternyata di dalam firman Allah SWT :

Maksudnya :
"Tiap-tiap diri bertanggungjawab terhadap apa yang telah diperbuatnya".
(Al-Muddaththir : 38) 

Ini bererti sekiranya seseorang itu tidak menunaikan kerja dengan sewajarnya, seperti mencuri masa dengan membuat kerja peribadi di dalam waktu pejabat, melengah-lengahkan bayaran kepada pemborong, meluluskan permohonan yang sepatutnya ditolak dan seumpamanya maka semestinya ia akan dihukum di akhirat kelak walaupun mungkin terlepas daripada tindakan tatatertib atau pun hukuman di dunia ini. Sebaliknya berbahagialah seseorang itu di dunia dan di akhirat sekiranya kita melaksanakan tugas dengan sewajarnya menurut tuntutan Islam.

Daripada apa yang telah diutarakan, jelaslah bahawa menurut ajaran Islam, setiap manusia wajib mempunyai kerja. Islam tidak menyukai kepada pengemis dan penganggur. Di samping itu seseorang pekerja mestilah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya kerana Allah telah menegaskan bahawa setiap pekerja itu berupaya dan mampu untuk menunaikan tanggungjawabnya. Samada seseorang pekerja itu dapat menunaikan tugasnya dengan baik atau tidak hanyalah bergantung kepada sikap pekerja itu sendiri. Islam telah menggariskan etika kerja dalam Islam antaranya :

1. Bekerja Dengan Azam Mengabdikan Diri Kepada Allah 
2. Bekerja Dengan ikhlas Dan Amanah 
3. Bekerja Dengan Tekun Dan Cekap 
4. Bekerja Dengan Semangat Kerjasama Dan Berpadu Fikiran 


http://www.muftiselangor.gov.my/E-Book/KoleksiArtikelIstinbat/EtikaKerjaDlmIslam.htm

No comments: