Kebiasaanya setiap kali musim perayaan tiba, Pos Malaysia akan sibuk untuk
menguruskan kad-kad ucapan yang dihantar oleh orang ramai sempena
sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas,
Deepavali dan sebagainya dan memaksa mereka mendapatkan tenaga sementara
untuk menguruskannya.
Namun dengan perkembangan teknologi maklumat, penggunaan kad ucapan
untuk meraikan ahli keluarga, sahabat dan kenalan sudah menjadi tidak relevan
lagi.
Orang ramai sudah tidak berminat lagi membeli kad ucapan itu untuk dihantar
kepada rakan atau taulan disebabkan kemunculan pelbagai idea dan cara baru
seperti menghantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS dan MMS)
FaceBook (FB), Twitter dan sebagainya.
Bernama membuat tinjauan sempena menjelang Aidil Fitri di beberapa kedai
buku dan gerai di Terengganu dan mendapati tidak ada langsung pelanggan
yang datang membeli kad-kad ucapan yang dijual di kedai-kedai berkenaan.
"Kad ucapan Selamat Hari Raya yang dijual di kedai ini, langsung tidak
mendapat sambutan. Orang ramai dah tak minat lagi beli kad raya sebab
boleh hantar ucapan melalui SMS, FB dan sebagainya," kata Shukri Abdullah,
26, yang menjadi pembantu Kedai Buku Fauzi Ngah di Pasar Kedai Payang di
sini, sejak lima tahun lalu.
Katanya, dulu menjelang musim perayaan memang seronok menjual kad
raya sebab orang ramai berpusu-pusu membeli kad untuk dihantar kepada
rakan-rakan, tetapi sekarang semua sudah berubah.
Kedai Buku Pustaka Seri Intan di sini juga meluahkan pendapat yang sama
apabila tidak ada pelanggan yang berminat membeli kad ucapan Selamat
Hari Raya.
Menurut pembantu kedai itu Azizah Jusoh, 31, kedainya yang menjual
beraneka jenis kad raya berkata, jarang sangat orang yang masuk ke
kedai ini untuk membeli kad ucapan itu.
Beliau yang bekerja di kedai itu sejak tiga tahun lalu berkata, berbanding
beberapa tahun lepas, sukar untuk menjual kad-kad raya tahun ini.
Sementara itu seorang penjual kad raya berhampiran hentian bas Majlis
Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Yusof Yahya, 31, berkata,
hanya mereka yang betul-betul minat dan ada kenangan manis saja
membeli kad ucapan Selamat Hari Raya untuk dihantar kepada
rakan-rakan.
"Sejak saya buka gerai awal Ramadan ini, pelanggan yang datang
membeli kad raya boleh dibilang dengan jari," katanya.
No comments:
Post a Comment