Monday, August 06, 2012

HARGA DURIAN MURAH DI BULAN RAMADHAN

Pemilik kebun durian di Hulu Besut mendakwa kerugian besar apabila harga
'raja buah' itu kini jatuh mendadak ekoran tiada pasaran sejak bermulanya
bulan Ramadan tahun ini seperti dilaporkan Bernama.

Rata-rata mereka mendakwa harga durian bukan sahaja jatuh di Hulu
Besut malah di kebanyakan daerah di Terengganu termasuk Kelantan
menyebabkan kebanyakan daripada mereka membiarkan hasil
dilambakkan tanpa dikutip di kebun.

Namun keadaan yang sama pernah berlaku di Negeri Perak, khasnya
di kawasan Batu Kurau beberapa tahun yang lepas, di mana pemilik-pemilik
dusun yang berada di kawasan tanah tinggi membiarkan sahaja buah-buah
durian yang gugur kerana harga yang ditawarkan tidak berbaloi dengan
keringat yang dikeluarkan untuk mengutip dan membawa turun ke
kawasan pengumpulan.

Dilaporkan bahawa harga pasaran semasa durian yang dijual di kebun
sekarang ialah 30sen sekilogram dan yang dilonggokan di tepi jalan pula
dibeli peraih dengan harga 40sen sekilogram berbanding dengan harga
yang dijual oleh peniaga antara 0.80 sen hingga RM1.20 sekilogram
di pasaran semasa.

Bulan lepas, harga durian yang dikutip dari pekebun ialah antara RM1.50
hingga RM1.80 manakala peniaga menjualnya pula dengan harga antara
RM2 hingga RM3 sekilogram.

Berdasarkan tinjauan Bernama di Hulu Besut didapati kebanyakan
daripada pemilik kebun durian tidak semeriah sebelumnya untuk pergi
ke kebun setiap awal pagi bagi mengutip buah-buah yang gugur sejak
kejatuhan harga syiling durian.

Seorang pekebun yang hanya mahu dikenali sebagai Mamat, 51, dari
Keruak, di sini berkata beliau merasa tidak berbaloi untuk mengutip
durian dengan harga jualan 0.30 sen sekilogram berbanding dengan
kudrat tenaga untuk masuk ke hutan dengan motosikal dan
mengandarnya keluar.

Dikenalpasti bahawa minat orang ramai untuk memakan durian adalah kurang.

Beliau yang memiliki kebun durian 1.2 hektar itu berkata rezekinya
buat masa ini tidak menentu dimana kadang-kadang terdapat pembeli
yang datang sendiri ke rumahnya dengan menawarkan harga belian
yang lebih sedikit.

Bagi seorang lagi pekebun durian, Wan Merian Ishak, 58 dari Lubuk
Kawah di sini pula berkata lazimnya seperti tahun sebelumnya beliau
mampu memperoleh keuntungan berganda hasil jualan durian namun
tahun ini beliau terpaksa melupakan keuntungan dan Hari Raya
Aidilfitri disambut secara sederhana berikutan kejatuhan harga durian.

Namun apa yang boleh dilakukan oleh pemilik-pemilik dusun ini adalah
dengan menjadikan isi durian produk lain seperti lempok dan juga
tempoyak yang boleh dijual dan mendatangkan hasil daripada
dibiarkan ia rosak begitu sahaja.

No comments: