Thursday, June 23, 2016

APA ITU DIFTERIA

Difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae. Ia tersebar elalui titisan cecair pernafasan. Bakteria ini menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas. Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan enyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50%.

Vaksin difteria terkandung dalam vaksin lima (5) serangkai, DTaP-IPV//Hib (Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus influenzae type b). Ia diberikan pada usia 2, 3, 5 dan 18 bulan.  Liputan imunisasi yang melebihi 95% dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok (herd immunity) dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini. Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung dari komplikasi.

Justeru, KKM ingin memberi penekanan betapa pentingnya kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan. Ibubapa yang masih lagi belum membawa anak-anak mereka mengambil imunisasi hendaklah segera membawa mereka untuk mendapatkan imunisasi vaksin lima (5) serangkai yang lengkap. Ia merupakan tanggungjawab ibubapa untuk memberikan perlindungan dan menyelamatkan anak-anak daripada mendapat jangkitan dan seterusnya komplikasi jangkitan dan kematian, seperti apa yang sedang berlaku sekarang.

Dipetik daripada blog Ketua Pengarah Kesihatan

ICELAND TERUSKAN KECEMERLANGAN

Perlawanan peringkat kumpulan UEFA EURO Championship 2016 atau lebih dikenali sebagai EURO2016 telah tamat dan kejutan dicipta apabila empat pasukan yang membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini berjaya layak ke pusingan 16 pasukan terbaik iaitu Iceland, Ireland Utara, Slovakia dan Wales.

Kejayaan Iceland yang berkedudukan rangking dunia ditangga 31 dan negara yang hanya mempunyai seramai 329,000 penduduk adalah suatu yang membanggakan di mana mereka layak sebagai naib juara kumpulan F di belakang Hungary mengumpul lima  mata setelah menang sekali dan seri dua kali.

Lawan Iceland pada perlawanan pusingan kalah mati nanti adalah England.

Antara nama besar bolasepak Iceland adalah Eidur Gudjohnsen yang pernah bermain dengan Chelsea dan pemain yang masih bermaian di liga Inggeris adalah Gylfi Sigurdsson (Swansea, Johann Berg Gudmundsson (Charton) dan Aron Gunnarsson (Cardiff).



Thursday, June 16, 2016

KADAR ZAKAT FITRAH TAHUN 1437H

Zakat fitrah adalah zakat diri yang difardukan ke atas seluruh umat Islam yang berkemampuan dengan syarat-syarat tertentu.

Kefarduan melaksanakan ibadah zakat fitrah adalah terletak di atas tanggungjawab seorang individu kebiasaanya ketua keluarga iaitu bagi dirinya, keluarga dan tanggungannya berdasarkan syarat-syarat berikut.

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
4. Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan.




Menurut laporan BERNAMA kadar zakat fitrah dikekalkan di semua negeri, iaitu antara RM6.50 hingga RM8.00. Kadar RM7.00 seorang hampir di kesemua negeri kecuali Negeri Sembilan dengan kadar RM6.50 seorang dan Melaka RM6.70, manakala bagi Negeri Johor kadarnya antara RM6.00 dan RM8.00 seorang bergantung kepada gred beras yang dimakan oleh individu pembayar zakat fitrah.