Friday, November 09, 2012

Budaya Ketam Dalam Masyarakat


Kecelaruan dalam masyarakat pada hari ini salah satunya adalah disebabkan pengamalan “Budaya Ketam” di dalam masyarakat. Orang terdahulu telah menyedari perihal buruknya budaya ketam ini sehingga wujudnya peribahasa “Bagai ketam mengajar anaknya berjalan lurus”.

Ia membawa maksud bahawa “Orang yang nak mengajar seseorang untuk melakukan sesuatu perkara dengan betul sedangan dirinya sendiri tidak melakukan perkara tersebut dengan betul atau tidak melakukannya” Mudah cakap – cakap tak serupa bikin.  Adalah diketahui bahawa ketam berjalan secara mengiring dan selamanya akan berjalan begitu dan mana mungkin anak ketam akan berjalan lurus walaupun diajar oleh ibu atau bapanya.

Oleh itu dalam masyarkat mana-mana individu atau golongan yang inginkan perubahan kepada individu atau golongan lain wajar terlebih dahulu melakukan tindakan perubahan tersebut. Ungkapan” buat apa yang saya cakap dan bukan apa yang saya buat” sudah ketinggalan zaman dan tak boleh pakai. Sekarang adalah zaman “roles model” atau mentor atau “kepimpinan melalui teladan”. 

Pengajaran yang paling berkesan di kalangan kanak-kanak dan remaja adalah melalui pengalaman mereka. Karektor meraka akan dibentuk melalui pengalaman hidup mereka bersama-sama dengan ahli keluarga mereka, rakan-rakan mereka, ahli masyarkat dan para pemimpin mereka.

Oleh itu jangan disalahkan remaja dan orang muda jika masalah rempit berleluasa, masalah lepak, berpelesaran dan sebagainya kerana orang tua yang sepatutnya menjadi roles model turut terlibat dengan masalah tersendiri. Kalau kita marah orang muda merempit di jalanraya, apa kurangnya yang yang lebih berusia daripada mereka ketika di jalanraya. Budaya membuli, potong barisan, menggunakan lorong kecemasan, tidak patuh kepada  lampu isyarat dan sebagainya

Jika orang muda lepak dan berpelesaran, apa kurang yang dah tua. Jika yang muda lepak di simpang dan pusat beli belah, yang tua lepak-lepak di kedai kopi dan yang berada menghabiskan masa di kafeteria hotel dan sebagainya.

Apakah anak-anak akan melakukan solat jika ibu bapanya juga tidak solat. Apakah anak-anak akan rajin membaca jika di dalam keluarga membaca tidak menjadi sebahagian daripada budaya?

Selain itu terdapat lagi satu budaya ketam di dalam kehidupan kita seharian. Cuba perhatikan gelagat ketam-ketam yang diletak di dalam sesebuah bekas. Kalau seekor ketam nak keluar atau melepaskan diri daripada bekas , ketam tersebut akan memijak rakan-rakannya lain demi untuk mencapai cita-cita atau matlamatnya sendiri.

Dalam persaingan untuk melepaskan diri itu ketam yang di bawah akan menyepit ketam yang di atas agar kawannya jatuh. Kemudian ketam itu pula akan pijak kawannya itu untuk naik ke atas dan kawannya pulak menyepit kaki ketam tadi supaya jatuh.. akhirnya, semua ketam akan kekal dalam bekas tersebut.

Realitinya begitu dalam masyarkat kita di mana cemburu dan dengki akan menyebabkan tindakan-tindakan yang menyebabkan semuanya gagal. Jika kita selami realiti kehidupan hari ini, masih wujud manusia yang berbudaya ketam ini. Mereka ini tidak mempunyai kemahiran untuk naik atau maju ke atas iaitu untuk berjaya naik pangkat atau sebarang pencapaian. Oleh itu mereka akan pastikan jika mereka tidak berjaya, maka tiada jua insan lain yang akan dapat naik ke atas dengan melakukan pelbagai cara. 



Monday, November 05, 2012

Lima Kategori Yang Tidak Tertakluk Kepada Penguatkuasaan AES



Penguatkuasaan ke atas Kamera Sistem Penguatkuassan Otomatik (AES) adalah meliputi semua pengguna jalanraya di Malaysia.
Namun terdapat lima [5] kategori yang tidak tertakluk kepada penguatkuasaan AES - maksudnya golongan dikecualikan daripada AES ada dinyatakan di Kaedah 8 - Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan [Kesalahan Yang Dirakam Melalui Kamera] 2012.

Pengecualian


(1) Walau apa pun peruntukkan Kaedah-Kaedah ini, pengecualian diberikan bagi maksud dan keadaan yang dinyatakan dalam Jadual Kelima.


JADUAL KELIMA [Kaedah 8]


(1) Ma
na-mana kenderaan motor yang membawa atau mengiringi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atau Raja Permaisuri Agong, Raja-Raja atau Permaisuri Baginda, Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri-Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak atau isteri-isteri mereka, Dato'-Dato' Undang Negeri Sembilan atau Tengku Besar Tampin atau isteri-isteri mereka, Raja Di-Hilir Perak atau isterinya atau mana-mana Pembesar asing yang datang melawat.

(2) Mana-mana kenderaan motor yang membawa atau mengiringi Perdana menteri, Timbalan Perdana Menteri atau mana-mana Tetamu Negara

(3) Semua kenderaan tentera yang dimiliki oleh Kerajaan atau mana-mana angkatan pelawat yang ditafsirkan dalam Akta Angkatan Tentera 1960.

(4) Semua kenderaan motor kerajaan yang digunakan semata-mata untuk tugas ambulan, tugas melawan kebakaran, tugas polis, tugas penguatkuasaan pengangkutan jalan, tugas penguatkuasaan kastam atau tugas menyelamat termasuk kenderaan motor dari Jabatan Pertahanan Awam dan kenderaan motor dari Jabatan Penjara semasa menjalankan tugas mengiringi banduan.

(5)Semua kenderaan motor bukan kerajaan yang digunakan semata-mata untuk tugas ambulan, tugas melawan kebakaran dan tugas menyelamat.

Selain daripada pengecualian di atas, maka setiap kenderaan atau pengguna jalanraya adalah tertakluk kepada penguatkuasaan AES.

Friday, November 02, 2012

Prizer Malaysia Bantu Atasi Masalah Mati Pucuk

Prizer Malaysia dengan kerjasama lebih 80 buah farmasi telah mengambil langkah untuk membantu individu-individu yang mempunyai masalah mati pucuk tetapi malu untuk mendapatkan rawatan  dan khidmat nasihat doktor. 

Kini, sempena Kempen We Love, Sustaining Passions, individu bermasalah boleh menyampaikan masalah mereka kepada pakar-pakar perubatan melalui kotak pertanyaan di lebih 80 buah farmasi. 

Menerusi kotak "We Love" para pelanggan yang ingin bertanyakan sesuatu mengenai ED boleh memasukkan sebarang soalan berkaitan masalah ini bagi mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan yang berkelayakan. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai ED dan menggalakkan pasangan menjadi lebih proaktif mendapatkan jawapan serta mendidik mereka berkenaan masalah yang dialami oleh sebilangan lelaki ini. 

Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan pasangan supaya terus mengekalkan keintiman bagi perhubungan yang lebih akrab dan mesra.

Menurut Perunding Kempen We Love, Sustaining Passions, Paul Jambunathan, objektif utama untuk menempatkan kotak-kotak pertanyaan ini di farmasi terpilih adalah untuk memudahkan orang ramai menghantar pertanyaan mereka. 

''Mereka boleh menulis pertanyaan mereka mengenai ED pada kad dan memasukkannya ke mana-mana kotak dan semua maklumat akan dirahsiakan. 

"Melalui kempen ini, Pfizer Malaysia akan bekerjasama dengan rakan-rakan kami untuk memperkasakan lelaki yang mengalami masalah ED supaya mereka berani berbincang dan mendapatkan rawatan yang selamat untuk masalah ini," katanya. 

Tambah Jambunathan lagi, terdapat sebilangan golongan Adam yang lebih senang memilih ubat palsu dan ubat-ubatan yang telah diubah suai yang boleh didapati secara berleluasa secara dalam talian dan melalui saluran lain untuk menangani masalah ED ini.
 
Namun katanya, pengambilan ubat sendiri tanpa pengesahan daripada doktor tidak digalakkan  kerana ia boleh membahayakan kesihatan pesakit.


Jambunathan berkata, beliau ingin melihat lebih ramai pasangan, terutamanya kaum lelaki, memahami bahawa ED ialah masalah yang mesti didiagnosis dengan betul dan dirawat secara berkesan dan selamat oleh pakar perubatan yang berkelayakan. 

''Mengenal pasti ED dari peringkat awal amat penting kerana ia mungkin menandakan masalah kesihatan lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan penyakit jantung.

Oleh itu, rawatan awal ED juga boleh menjadi prasyarat untuk mencapai kesihatan diri secara keseluruhan. "Pfizer juga merancang untuk menerbitkan Risalah We Love yang menampilkan soalan dan  jawapan terpilih oleh panel pakar penjagaan kesihatan berkelayakan kami," katanya. 

Beliau memberitahu, risalah berkenaan akan diterbitkan sebanyak dua kali pada tahun ini iaitu pada November dan Disember boleh diperoleh secara percuma di farmasi-farmasi yang  mengambil bahagian. 

Program pendidikan dengan kerjasama farmasi-farmasi ini adalah sebahagian daripada kempen We Love, Sustaining Passion yang telah dilancarkan baru-baru ini untuk meraikan ulang tahun ke-15 penemuan PDE5 inhibitor yang pertama untuk merawat ED. 

Sementara itu, Pengarah Perubatan Pfizer Malaysia, Dr. Vicknesh Welluppillai berkata, hanya  dengan bersikap proaktif dalam mendapatkan rawatan yang betul sahaja, golongan bermasalah ini bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan emosi dan fizikal secara keseluruhan tetapi apa yang lebih penting lagi hubungan intim dapat dipertingkatkan di kalangan suami isteri.

Melalui inisiatif-inisiatif ini katanya, Pfizer Malaysia komited untuk memberanikan kaum lelaki yang mungkin mengalami ED untuk mengembalikan keyakinan diri mereka untuk sentiasa mencintai dan mengekalkan keintiman. 

''Selain itu, kami sedang merancang untuk mengadakan bengkel We Love, Sustaining Passions untuk pasangan suami isteri di Pulau Tioman bulan ini. ''Kepada pasangan yang berminat boleh menghantar e-mel ke welove.sustainingpassions.gmail.com untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kriteria pilihan. 

Mereka juga boleh menghubungi 016- 22118800 untuk maklumat lanjut," jelasnya.

sumber: Utusan Malaysia