Tuesday, May 04, 2010

Cara Berkempen Bukan Ala Malaysia

Oleh: Samad Said

PADA 6 Mei ini rakyat Great Britain akan membuat keputusan penting: Memperkekal pemerintahan Parti Labour atau menyingkirnya. Parti Labour (kini pimpinan Gordon Brown) telahpun berkuasa selama l7 tahun!

Saya tidak begitu terpesona dengan parti mana yang bakal menang—sama ada Parti Buruh pimpinan Gordon Brown, Parti Conservative pimpinan David Cameron ataupun Parti Liberal Democrats pimpinan Nick Clegg.

Saya hanya terpesona dengan isu dan cara ketiga-tiga parti itu berkempen.Yang jelas, tidak terdengar munculnya calon-calon bertanda harga yang berdebar menanti untuk dibeli. Juga, turut jelas, para calon pilihanraya itu tidak coba membenam sesama sendiri melalui pembeberan kisah glamor dan songsang peribadi masing-masing.Yang diutamakan ialah soal isu penting dan landasan parti. Isu—untuk umum; landasan—untuk parti.

Khabarnya, “bahan” terbesar ialah masalah mengatasi defisit kantung negara. (Britain rasanya tidak mempunyai dana dulang emas sesubur Malaysia!). Oleh kemelesetan ekonomi dunia, lebih-lebih lagi oleh pemborosan belanja melanggar Iraq, ekonomi Britain telah menguncup dan sedang mencungap. Lalu, masing-masing pemimpin coba membentangkan peta cara dan kerja mengatasi masalah darurat itu.

Pemimpin Liberal Democrats—Nick Clegg—sedia mengikis projek mempermoden armada kapal selam Britain. Terlalu menggunung belanjanya, hujah Clegg. Ada masalah lain yang lebih utama dan mendesak—rancangan kesihatan dan pendidikan.
Dalam simpang-siur kempen khabarnya Nick Clegg sangat menyerlah. Wajahnya tampan, inteleknya santan. Sejauh ini, Gordon Brown daripada Parti Labour sempat diistilahkan sebagai petanding “yang kembali dari tanah pusara”. David Cameron pula sempat diwajahkan sebagai tenaga penentang yang titan.

Kembali kepada soal isi dan cara berkempen, tampaknya, tidak terimbas kesiasiaan atau kecurangan yang mendedah. Ketiga-tiga parti utama itu ternyata sedar akan batasan tindakannya. Parti Buruh coba “membuat” sesedikit kesilapan—contohnya, tidak memperalatkan jentera kerajaan untuk kerja kempen partinya. Malah, Gordon Brown tidak pun mengumumkan sebarang projek gergasi atau mencurahkan dana dulang emas seenaknya bagi pemancingan undi.

Thursday, April 29, 2010

Koc Komuter Khas Untuk Wanita

Bermula 29 April 2010, Keretapi Tanah Melayu telah mewujudkan koc khas untuk wanita bagi perkhidmatan komuternya. Koc yang dicatkan warna pink beroperasi dari Sentul ke Pelabuhan Kelang.

Pengenalan koc ini adalah salah satu penghormatan kepada kaum wanita dan keunikan buat sistem pengangkutan awam di negara ini.

Langkah itu mampu memberikan keselesaan kepada penumpang wanita yang selama ini terpaksa berhimpit-himpit dengan penumpang lelaki khususnya ketika waktu puncak dan langkah itu dapat mengurangkan masalah gangguan seksual kepada penumpang wanita.

Langkah ini menepati syariat Islam yang meletakkan wanita di tempat paling istimewa yang perlu dilindungi dan dilayani dengan sebaik-baiknya.

Kemudahan KTM ini walaupun baru namun diyakini akan mendapat sambutan meluas berikutan jumlah penumpang komuter setiap hari yang ramai.

Koc khas untuk wanita sudah lama dilaksanakan di luar negara seperti di Jepun dan beberapa negara Eropah.

Thursday, April 15, 2010

Program Mara Terjejas Akibat Peruntukkan Kecil

Berdasarkan pengalaman penulis yang berurusan dengan agensi kerajaan, hampir keseluruhannya menyatakan bahawa peruntukan operasi untuk tahun 2010 sangat berkurangan dan ada yang dipotong sehingga 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peruntukan hanya cukup untuk operasi sahaja, manakala untuk perolehan hanya untuk yang penting sahaja. Antara agensi kerajaan yang dipotong peruntukannya ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang mengendalikan urusan kepentingan orang Melayu.

Berdasarkan laporan untuk tahun 2010, Mara hanya menerima RM374,537 juta, berbanding RM883,785 juta dalam tahun sebelumnya.
Mengikut pecahan - IKM hanya menerima RM143 juta berbanding RM403 juta dalam tahun 2009, manakala Giat Mara menerima kurang RM12 juta kepada hanya RM16 juta untuk tahun ini, berbanding RM28 juta dalam tahun 2009.

MRSM dan kolej Sains Mara mendapat RM115 juta turun daripada RM254 juta.

Lanjutan daripada pengurangan peruntukan, maka jumlah pelajar tajaan Mara untuk tahun 2010 telah berkurangan lebih 60% kepada 25,000, berbanding 72,729 di dalam tahun 2009 dan 52,803 dalam tahun 2008.

Pengambilan pelajar di MRSM juga turun kepada hanya 9,579 berbanding 14,611 (2009) dan 27,562 (2008), manakala untuk IKM/KKTM turun kepada 15,640 berbanding 21,407 (2008) dan 17,482 (2009).

Bagi Giat Mara jumlah pelajar yang diambil untuk tahun ini turut berkurangan walaupun tidak di dalam peratusan yang besar, iaitu 24,520 berbanding 19,658 (2008) dan 25,554 (2009).

Namun program melatih usahawan bumiputera paling teruk terjejas di mana daripada 26,947 pelatih dilahirkan dalam tahun 2008, kini untuk tahun 2010 tempat yang diperuntukan terhad kepada 6,000 sahaja.