Wednesday, June 15, 2016

SURAT BERANTAI DAH BERTUKAR KEPADA WHATSAPP BERANTAI

Kalau dulu di zaman sebelum wujudnya teknologi maklumat (IT), gejala surat berantai yang menjadi masalah kepada masyarakat Islam dihantar melalui pos. Selepas itu para pencinta surat berantai menghantarnya melalui emel dan sms sejajar dengan perkembangan IT.

Kini apabila berlaku kemajuan di dalam bidang IT, mereka turut mengambail manfaat tersebut dengan menghantarnya pula melalui Whatsapp. Terdapat sebahagian bahan yang dihantar mengandungi nasihat agama dengan dibawakan dalil dan ayat-ayat Al Quran. Tidak kurang juga di bawa cerita-cerita mengenai kejayaan individu-individu sebagai motivasi kepada orang lain supaya turut berjaya seperti individu tersebut. 

 Namun dipenghujung karangan tersebut telah meminta para penerima untuk menyebarkan pula kepada individu-individu lain dalam jumlah yang ditetapkan sama ada 10 orang, 40 orang dan sebagainya. Kemudian dibawakan cerita bahawa terdapat individu yang mendapat kebaikan dan manfaat selepas beberapa hari mereka menghantar atau panjangkan mesej atau bahan tersebut kepada individu lain. 

Selepas itu dibawakan pula cerita mengenai musibah yang melanda individu-individu yang tertentu kerana mengabaikan mesej/bahan yang diterima. Mempercayai sesuatu kebaikan/manfaat atau kecelakaan akibat daripada tindakan-tindakan yang berkaitan dengan perkara di atas adalah perbuatan syirik kerana tiada kuasa kepada mana-mana makluk untuk mendatangkan kebaikan/kecelakaan kepada manusia melainkan Allah dan dalam Islam tiada ajaran yang menyatakannya sedemikian.

Tuesday, June 14, 2016

UKUR BAJU DI BADAN SENDIRI

Dalam melakukan sesuatu kita hendaklah menilai akan kemampuan, keupayaan dan kelayakan diri sebelum meneruskan hajat tersebut. Di dalam bahasa Inggeris situasi ini dipanggil " Cut Your Coat According to Your Cloth".

Peribahasa ini boleh merujuk kepada keinginan seseorang untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kemampuan kewangannya terbatas, di mana jika badan kecil, maka pakailah baju yang kecil. Bukan sahaja dari segi saiznya, ia juga merujuk kepada jenama dan jenis material baju tersebut. Jika tidak mampu janganlah berbelanja sehingga berhutang dan akhirnya tidak mampu dibayar.

Pada tahun 2014 seramai 22,351 rakyat Malaysia telah muflis dan 6,802 atau 30.4 % adalah kerana gagal membayar balik pinjaman membeli kenderaan,  4,906 (21.9 %) pula pinjaman peribadi dan 3,880 (17.6%) orang menjadi muflis kerana gagal membayar pinjaman perumahan.

Pada tahun yang sama juga seramai 1,827(8.2 %)  menjadi muflis kerana tidak mampu menjelaskan bayaran kad kredit.

Apa yang membimbangkan terdapat mereka muflis itu berumur 25 tahun dan kebawah, iaitu seramai 635 (2.8%) orang pada tahun 2014.

Apabila seseorang menjadi muflis banyak halangan dalam urusan kewangan  di mana harta mereka akan diletakkan di bawah Jabatan Insovensi Malaysia (JIM). Mereka juga tidak boleh ke luar negara tanpa kebenaran JIM. Segala-galanya mesti mendapatkan kebenaran JIM.

Friday, June 10, 2016

EURO2016 MENAMPILKAN PENYERTAAN PERTAMA BAGI LIMA NEGARA

UEFA EURO Championship 2016 atau lebih dikenali sebagai EURO2016 akan menampilkan lima negara yang pertama kali layak ke peringkat pusingan akhir iaitu Albania, Iceland, Ireland Utara, Slovakia dan Wales dan penyertaan kedua bagi Austria dan Ukraine, manakala Belanda adalah pasukan negara yang bertaraf bintang yang gagal layak ke pusingan akhir edisi yang ke 15 ini.


Edisi kali ini yang bermula pada 10 Jun hingga 10 Julai 2016, menampilkan perlawanan pertama antara tuan rumah Perancis melawan Romania yang diundi dalam kumpulan C bersama  pasukan Albania dan Switzerland, manakala juara edisi 13 (2008) dan 14 (2012), Sepanyol diundi dalam kumpulan F bersama dengan Crotia, Turki dan Republik Czech.

Dari segi kejuaraan pula, Jerman (1972, 1980 dan 1996) dan Sepanyol (1964, 2008 dan 2012 telah menjuarainya sebanyak tiga kali, manakala tuan rumah edisi ini pula menjuarainya sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1984 dan 2000. Bagi pasukan Sepanyol mereka cuba untuk mencipta rekod sebagai pasukan pertama yang menjuarai UEFA EURO Championship kali ketiga berturut-turut setelah berjaya menjadi juara dua edisi berturut-turut, iaitu pada edisi 13 dan 14.

Pada edisi antara pasukan yang menjadi pencabar utama selain tuan rumah Perancis adalah England, Jerman, Portugal, Sepanyol, Belgium dan Itali.

Bagi peminat bolasepak di Malaysia, Astro melalui saluran 841 dan 842 HD akan menyiarkan kesemua perlawanan tersebut secara langsung dan berdasarkan jadual perlawanan mengikut waktu Malaysia ada perlawanan yang berlangsung pada pukul 9.00 malam, 12 malam dan 3 pagi.