Tuesday, July 10, 2012

Ramadhan Mengamit

Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk umat Islam menyambut Ramadhan, iaitu bulan yang diwajibkan kepada umat Islam untuk berpuasa. Bulan yang hanya padanya disunatkan umat Islam melakukan solat terawih yang tidak ada pada bulan-bulan yang lain.

Institusi Ramadhan adalah bulan tarbiyah untuk kita muhasabah diri, bulan untuk membuat koreksi dan sebagai penggerak untuk membentuk diri dari seorang muslim yang baik kepada yang lebih baik.

Ramadhan adalah bulan yang di awalnya diberikan rahmat, di pertengahannya keampunan dan di akhirnya pelepasan daripada api neraka. Bulan Ramadhan adalah bulan bonus yang Allah berikan kepada umat Islam. Pahala melakukan ibadat wajib digandakan kepada 70 kali dan ibadat sunat mendapat pahala ibadat wajib. Apatah lagi kalau dilakukan secara jemaah. Di dalamnya juga ada satu malam iaitu Malam Lailatul Qadar yang Allah berikan kelebihannya ibarat 1000 bulan. Kalau bonus kerajaan bagi satu bulan pun kita dah seronok. Ini kan pula bonus 70 kali (sama 70 bulan) dan ada yang sampai 1000 bulan. Hatta orang tidur di siang hari pun mendapat pahala, tetapi dengan syarat amalan wajib tak ditinggalkan dan bertujuan supaya dapat beribadat pada malamnya.

Sama-samalah kita membuat persediaan untuk melayari Ramadhan. Bukan masanya lagi untuk membuat persediaan menghadapi Syawal. Buatlah rujukan untuk kita mendalami ilmu bagi mendapat kesempurnaan dalam melakukan amal kebaikan. Amal tanpa ilmu ibarat pohon rendang yang tak berbuah dan apa yang penting lagi ialah keikhlasan dalam beribadat. Bukan ikut-ikutan tapi kerana ia adalah kewajipan sebagai hamba Allah.

Sama-samalah juga kita berdoa semoga kita diberikan kekuatan keimanan dan kesihatan tubuh badan agar kita termasuk dalam golongan insan-insan yang berjaya mengapai peluang yang besar ini. Juga kita berdoa agar Ramadhan ini bukanlah Ramadhan yang terakhir buat kita kerana sesungguhnya kita banyak melakukan dosa, maka hanya dengan rahmat Allah sahaja dapat menyelamatkan kita. Oleh itu, saya mengingatkan diri saya dan rakan-rakan agar sama-sama kita bertekad untuk mengambil kesempatan ini untuk jadi insan yang kamil wal mutakamil dan jangan kita jadikan Ramadhan ini sama seperti bulan-bulan yang lain berlalu tanpa rasa apa-apa di dalam diri dan jiwa kita. Jadikan Ramdhan sebagai pesta ibadah bukan pesta juadah dan Ramadhan adalah bulan ibadat bukannya adat.

Jadikan Ramadhan untuk kita meningkatkan darjat kita, sekali lagi sebagai turning point for us to move forward. Dan tanda seseorang itu berjaya dalam menjalani ibadah Ramadhan ialah akan ada perubahan yang baik dalam dirinya bila lepas Ramadhan nanti. Akhirnya sama-samalah kita jaga sholat kerana sholat adalah amalan pertama yang akan dihisap di akhirat nanti dan prasyarat untuk Allah menerima amalan-amalan kebaikan yang lain. Ramai yang mampu berpuasa 14 jam sehari tetapi tidak mampu untuk meluangkan masa 15 minit untuk satu waktu sholat ...

Moga puasa membentu kita menjadi insan yang bertaqwa. Usahlah disibukkan diri dengan persiapan aidil Fitri hingga menjejaskan ibadat di dalam bulan Ramadhan. Sesungguhnya ganjaran yang besar tidak ada dibulan lain, maka janganlah lepaskan peluang ini.

Tuesday, April 10, 2012

Hukum Memakai Cincin, Gelang Tangan dan Rantai Leher Bagi Lelaki Islam

Oleh: Ustaz Mohamad Faizal bin Ahmat

Memakai cincin merupakan salah satu sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana Rasulullah s.a.w sendiri pernah memakai cincin. Berdasarkan hadith daripada Anas bin Malek :

“ Adalah cincin Nabi SAW dipakai pada tangan ini ( Dan dia menunjukkan kepada kelingking jari kiri)”(Hadith Riwayat Muslim) Begitu juga, nasihat Nabi Muhammad saw. Kepada Saidina Ali sesudah bernikah dengan Siti Fatimah iaitu anakanda kesayangan, Nabi Muhammad s.a.w. berpesan kepada Saidina Ali iaitu kalau memakai cincin pakailah di jari manis atau jari kelingking (anak jari). Di samping itu Ali bin Abi Talib berkata “ Rasulullah s.a.w telah melarang saya memakai cincin pada jari telunjuk atau jari yang mengiringinya( jari tengah atau jari hantu)”. (Hadith riwatat Muslim, Abu Daud At-Tirmizi dan An-Nasai)

Bagi pemakaian gelang tangan pula, terdapat sebuah hadis yang menyebut gelang tangan ini.

Bahawa Rasulullah s.a.w telah melihat pergelangan tangan seorang lelaki yang memakai gelang yang diperbuat daripada tembaga, maka baginda bertanya kepada lelaki tersebut:”Apakah bendanya ini”? Lelaki itu berkata:”Ia adalah gelang perubatan”. Rasulullah bersabda: “ Sesungguhnya benda itu tadak memberi apa-apa (faedah walaupun untuk tujuan perubatan), buangkan benda itu daripada diri anda, jika sekirannya anda mati dan benda itu ada pada diri anda, maka anda tidak akan berjaya (selamat) untuk selama-lamanya (Sahih riwayat Imam Ahmad).

Berdasarkan hadis di atas, terdapat perbezaan pendapat ulama’ sama ada yang mengharuskan ataupun mengharamkan pemakaian gelang tangan ini. Mereka yang mengharamkan penggunaan gelang tangan adalah bersandarkan hadis zahir di atas secara jelas melarang lelaki memakai gelang tangan, walaupun untuk tujuan perubatan.

Pun begitu, terdapat ulamak yang mengharuskan menggunakan gelang tangan bagi lelaki dengan tujuan perubatan sahaja, tetapi dengan beberapa syarat yang ketat iaitu gelang tersebut telah dibuat kajian saintifik bahawa boleh merawat penyakit, gelang tersebut bukan dibuat daripada emas dan perak, pemakaian gelang tersebut bukan untuk tujuan menunjuk-nunjuk. al-Ustaz Muhammad Sa’di (Penyelidik laman Islam-online) ketika ditanya tentang hukum memakai gelang dari tembaga yang diperbuat bagi tujuan perubatan apakah dibenarkan atau ia termasuk di dalam syirik yang kecil, beliau menjawab: “Jika terbukti kemanfaatan gelang tersebut sebagai perubatan, maka perbuatan itu tidak mengapa, adapun jika tidak ada padanya sebarang manfaat, maka jangan dipakaikan kerana ketika itu ia termasuk dalam kumpulan memakai tangkal dan azimat.”

Larangan memakai gelang yang dinamakan al-wahinah di dalam hadis di atas bukan merujuk kepada gelang semata-mata dan bukan juga merujuk kepada larangan berubat dengan gelang, sebaliknya ia merujuk kepada merubat dengan tangkal atau gelang yang hanya semata-mata tangkal. Oleh itu, pemakain gelang tangan bagi tujuan tangkal adalah jelas, iaitu haram. Tidak kira jenisnya, sama ada ada logam, tali bewarna hatta gelang getah sekalipun. Majlis fatwa kebangsaan telah memutuskan lilitan hitam di lengan bagi umat Islam adalah haram kerana ia merupakan suatu adat atau kepercayaan agama lain. (Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali Ke-19, 6 Oktober 1987 )

Hasil dari pemerhatian penulis, pemakaian gelang di kalangan pelajar PMM atau masyarakat awam, gelang yang dipakai bukanlah jenis magnetik yang dibuat untuk tujuan perubatan tetapi jenis logam biasa yang boleh dibeli di mana-mana sahaja dengan harga yang murah. Jadi gelang ini bukanlah jenis yang diharuskan menurut Islam. Pemakain mereka hanya bertujuan untuk menunjukkan penampilan yang dianggap “gagah” atau “macho”. Oleh itu jika hanya untuk menunjuk-nunjuk atau berhias (bagi lelaki) maka ia adalah amat ditegah dalam Islam.

Berkaitan dengan pemakaian rantai leher pula, bila ditanya “ kenapa pakai rantai leher?” ramai menjawab: “rantai ini bukan dari jenis emas atau perak”. Persoalan di sini bukanlah jenis buatannya sama ada rantai emas, perak, besi ataupun tembaga. Menurut Islam rantai leher merupakan salah satu alat perhiasan bagi wanita sahaja. Haram meniru atau menyerupai wanita sama ada dari segi alat perhiasan ataupun pakaian. Amat beratlah kesalahannya jika tujuan pemakaian rantai leher itu bertujuan untuk meniru agama, anutan, ajaran agama lain, maka hukumnya haram, bersandarkan sebuah hadis:

“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum itu, maka dia akan tergolong di dalam kaum berkenaan.” (Riwayat Abu Daud).

Apa yang perlu di sini ialah ilmu pengetahuan. Dengan erti kata segala perbuatan dan amalan yang kita lakukan hendaklah berdasarkan ilmu yang sohih, bukan ikut-ikutan sahaja. Punca utama berlakunya terikut-ikut dengan budaya songsang seperti bertindik, rambut punk, bertatu, memakai rantai adalah kerana kejahilan dan kedangkalan untuk tidak mendalami ilmu agama. Ironinya keseronokan mengikut budaya asing atau songsang ini akan merosakkan diri malah yang lebih parah lagi, boleh merosakkan akidah kita. Akhirnya, panduan ilmu yang benar akan mendorong segala perlakuan kita bertepatan dengan ajaran Islam seterusnya mendapat kerahmatan dari Allah taala. Wallahu a’lam.

sila layari: - http://omakkau.blogspot.com/2012/04/menteri-pembangunan-wanita-keluarga-dan.html

Monday, March 05, 2012