Tuesday, August 24, 2010

Rakyat Didahulukan: Saidina Omar Contoh Terbaik

Saidina Omar Al-khatab adalah khalifah Islam kedua dalam pemerintahan Khulafa Arrasyidin. Dalam masa pemerintahan beliau sebagai Khalifah Kerajaan Islam Madinah telah berlaku kejadian kemarau yang teruk hingga menjejaskan tanaman dan kehidupan rakyatnya.

Dalam menghadapi masalah ini, Saidina Omar telah berucap di depan rakyatnya, seraya berkata "Apakah kejadian kemarau ini berlaku akibat kesalahan (dosa) yang aku lakukan sehingga kamu semua rakyat terpaksa menerima balasannya atau apakah ia akibat kesalahan (dosa) yang kamu semua lakukan sehingga aku juga menerima akibatnya."

Di sini dilihat bahawa dalam memahami masalah kemarau, Khalifah sendiri akan muhasabah dirinya selain memohon agar rakyatnya juga berbuat perkara yang sama. Semoga melalui proses ini mereka akan memperbetulkan kesilapan yang mengundang murka Allah melalui bala kemarau.

Dalam menghadapi kemarau, maka kebergantungan rakyat hanyalah kepada khazanah negara. Oleh itu sebagai khalifah , Saidina Omar telah menyediakan makanan untuk rakyatnya dan akan pastikan bahawa setiap orang daripada mereka tidak terlepas daripada mendapat bantuan makanan.

Saidina Omar akan pastikan rakyatnya dapat makanan dahulu berbanding dirinya. Sesudah semua makanan yang disediakan diagihkan kepada rakyatnya, maka barulah beliau akan memakan lebihan daripada rakyatnya.

Dikisahkan apabila sudah diagihkan kepada semua rakyatnya dan makanan yang lebih telah diberikan kepada beliau, walaupun begitu beliau masih keberatan untuk memakannya kerana beliau masih khuatir akan ada rakyatnya yang masih memerlukan makanan tersebut sehinggalah di akhirnya yang tinggal hanyalah sisa-sisa minyak di dalam bekas makanan itu untuk beliau dan digaulkan dengan sisa-sisa roti untuk beliau makan.

Wednesday, August 18, 2010

Kurma Bagus Untuk Kesihatan

Berbuka puasa dengan memakan kurma adalah baik kepada kesihatan selain ia merupakan amalan sunat kerana ia adalah amalan Rasulullah S.A.W ketika berpuasa.

Kurma didapati mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang banyak kerana telah terbukti, di dalam Al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.
Antara Hadis dan Ayat Quran yang menyentuh mengenai kurma."Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu ." (AL QURAN – surah Maryam 25-26)."Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma sewaktu hamilnya, nescaya anak yang akan lahir kelak anak menjadi yang penyabar, bersopan santun serta cerdas. Sesungguhnya makanan Siti Maryam (A.S) ketika melahirkan Nabi Isa (A.S) adalah buah kurma. Sekiranya ALLAH S.W.T. ada menjadikan buah yang lebih baik daripada buah kurma nescaya ALLAH telah memberikan makanan itu kepada Siti Maryam . - (Hadith – Sahih Bukhari).Kurma dari kajian Saintifik oleh ahli etnomedicine dan pemakanan.
Kurma atau nama saintifiknya Phoenix dactylifera L. adalah tumbuhan dari famili palma tumbuh di kawasan berpasir pada suhu yang tinggi.Berdasarkan pada ayat-ayat Al-Quran dan hadith Rasul, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma.
Mengikut kajian Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku "Tempoh mengandung dari segi perubatan, fiqhiyah dan perundangan", hasil kajiannya menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.
Selain itu banyak kajian lain yang telah dijalankan oleh para saintis tempatan dan luar negara bagi menjelaskan mengenai khasiat tamar atau kurma. Kajian-kajian yang dijalankan oleh Profesor Madya Aisyah Mohd Zain Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia, Dr. Anwar El Mufti dari Mesir dan Dr. David Conning, penyelidik dari British Nutrirition Foundation menunjukkan bahawa kurma adalah sejenis buah-buahan yang sangat berkhasiat untuk tubuh badan manusia.
Saya ringkaskan segala kajian mereka dan rangkumkan menjadi satu karangan. Kurma mengandungi nilai karbohidrat dan kandungan gula yang tinggi. Kandungan karbohidratnya berkisar dari sekitar 60% pada kurma lembik (yang diambil sewaktu masih mentah) hingga sekitar 70% pada kurma kering (yang mengering di pohon dan terjemur matahari), manakala kandungan gulanya sebanyak lebih 70%Kebanyakan jenis kurma mengandungi gula glukosa (jenis gula yang ada dalam darah) atau fruktos (jenis gula yang terdapat dalam sebagian besar buah-buahan).
Namun terdapat satu jenis kurma yang bernama Deglet Noor yang tumbuh di California hanya mengandungi gula sukrosa (dikenal juga sebagai gula pasir). Sebahagian besar zat gula yang terdapat di dalamnya sudah dijadikan sediaada dan tidak berbahaya bagi kesihatan seperti gula yang terdapat pada buah-buahan lain yang dinamakan fruktos. Fruktos mudah dicerna dan mudah dibakar oleh tubuh. Dengan demikian akan menghasilkan tenaga yang tinggi, tanpa memerlukan tubuh untuk mengolah, mencerna, dan menjadikannya sebagai zat pemakanan. Itu sebabnya mengapa kurma dianggap sebagai buah yang ideal untuk hidangan berbuka puasa kerana apabila kita memakannya ia akan cepat membantu mengembalikan tenaga. Berbeza dengan makanan lain contohnya nasi yang mengandungi kaborhidrat yang akan diproses menjadi glukos dan sukros dan kemudiannya fruktosa. Ia melalui banyak proses tindakbalas kimia (chemical reaction) di dalam menukar rantaian molekul-molekul.
Dr. David Conning, Ketua Pengarah Yayasan Pemakanan Britain, menyatakan segelas air yang mengandung glukosa akan diserap oleh tubuh dalam tempoh 20-30 tempoh minit, tetapi gula yang terkandung dalam kurma akan cepat diserap tetapi di dalam proses yang perlahan iaitu dalam tempoh 45-60 minit. Ini bermaksud orang yang memakan banyak kurma pada waktu sahur akan menjadi segar dan lambat merasai lapar disebabkan proses penyerapan yang perlahan. Dalam setiap 100 g kurma kering mengandungi vitamin A (50 IU), tiamin (0.09 mg), riboflavin (0.10 mg), niasin (2.20 mg) serta kalium (666 mg). Zat-zat pemakanan ini berfungsi membantu menghasilkan tenaga, menjaga kulit dan saraf agar tetap sihat serta penting untuk fungsi jantung. Riboflavin dan niasin, contohnya akan membantu mengeluarkan tenaga dari makanan, sementara tiamin membantu mengeluarkan tenaga dari karbohidrat.Vitamin A dan niasin memainkan peranan dalam membentuk dan memelihara kulit yang sihat. Tiamin penting bagi sel-sel saraf, sementara niasin menjaga fungsi normal saraf.
Kurma juga mengandung banyak mineral penting seperti magnesium, potasium dan kalsium. Mineral-mineral itu sangat diperlukan oleh tubuh. Serat yang terdapat dalam kurma berfungsi menyegarkan usus dan mengaktifkannya yang akan membantu untuk memudahkan proses membuang air besar. Dalam kurma juga terdapat hormon (potuchsin) yang boleh menciutkan pembuluh darah dalam rahim sehingga boleh mencegah perdarahan rahim.Marilah kita mengamalkannya bagi menuruti sunah Rasul s.a.w dan demi menjaga kesihatan kita.

Tuesday, August 03, 2010

Caj Air Di Selangor Naik 140 peratus dalam tahun 2021

Mengikut perjanjian konsesi air yang ditandatangani oleh bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohd Khir Toyo dengan Syabas, harga air di Selangor akan dinaikkan sebanyak 37 % pada tahun 2009, 25 % pada tahun 2012, 20 % pada tahun 2015, 10 % pada tahun 2018 dan 5 % pada tahun 2021.

Kadar caj semasa air di Selangor dan Kuala Lumpur adalah RM0.57 untuk satu meter padu untuk kadar 20m3 pertama. Kadar caj bagi 15 m3 seterusnya adalah RM1.03 satu m3 dan untuk kadar seterusnya adalah sebanyak RM2.00 semeter padu.

Mengiku perjanjian ini, kadar untuk 20 meter padu pertama akan menjadi RM0.78 semeter padu untuk tahun 2009, RM0.98 (2012), RM1.18 (2015), RM1.30 (2018) dan RM1.37 (2021).

Kadar semeter padu untuk 15 meter padu berikutnya adalah sebanyak RM1.41 (2009), RM1.76 (2012), RM2.11 (2015), RM2.32 (2018) dan RM2.44 (2021).

Bagi kadar selepas itu caj semeter padu bagi adalah RM2.74 (2009), RM3.43 (2012), RM4.12 (2015), RM4.53 (2018) dan RM4.76 (2021).

Berdasar perjanjian tersebut caj air akan dinaikkan bagi tempoh setiap tiga tahun sekali.

Caj air naik sebanyak 140 peratus daripada caj asal RM0.57 kepada RM1.37 dalam tempoh 12 tahun.