Thursday, March 31, 2016

JIKA ITU TAKDIR MU, TERIMA SAJA

 Setiap yang berlaku ada hikmatnya dan setiap jalan yang kita pilih ada kebaikannya. Dalam perjalanan hidup ini beberapa keputusan yang aku buat dan aku tak menyesal dengan keputusan tersebut. Walaupun dalam jalur perjalanan tersebut ada yang bertanya kenapa ini yang dipilih dan tidak itu.

Sebenarnya aku bukanlah murid yang bijak sangat. Belajarpun di sekolah harian sahaja dan result SPM pun cukup makan, namun ia melayakkan aku untuk melanjutkan pelajaran ke Politeknik dalam jurusan kejuruteraan parit dan tali air. Namun pada masa tersebut, aku sebagai anak orang kampung tak mahu menyusahkan keluarga aku dengan bebanan tersebut. Jadi aku diamkan sahaja tawaran tersebut daripada pengetahuan ahli keluarga yang lain. Aku nekad untuk masuk tingkatan enam sahaja. Mungkin sebab aku anak orang bendang mereka tawar aku kursus dalam kejuruteraan parit dan tali air sedangkan kawan aku Sahril Abdullah dan Shamsul Akmar Idris dalam bidang kejuruteraan elektronik. Sekarang ni mereka berdua adalah jurutera di Samsung, Seremban.

Ringkas cerita dalam STPM aku dapat result yang baik dan melayakkan aku masuk universiti. Aku juga dapat anugerah pelajar terbaik bagi matapelajaran pengajian Am. Aku ambil kursus antropologi dan sosiologi di UM dan ia sangat asing pada awalnya pada aku. Pada masa itu di UM tempoh belajar hanya tiga tahun dan kena study sungguh untuk dapat ijazah kepujian. Alhamdulillah aku Berjaya mengenggam segulung ijazah.

Selepas dapat ijazah, lepak2 di UM dan buat proposal untuk sambung ke peringkat sarjana. Selepas berbincang pada masa itu dengan Prof Madya Dr Mohd Nor Nawawi (dalam bidang teologi) dan Prof. Dr Mohd Bakar (dlm bidang artificial intellenge) aku submit proposal untuk master dan Alhamdulillah permohonan untuk sambung belajar diterima oleh senat UM sebagai calon sepenuh masa.

Namun dalam masa buat proposal untuk master, aku telah diterima bekerja di FRIM sebagai pegawai projek untuk International Tropical Timber Organisation (ITTO). Kerja terpaksa diteruskan untuk menyara hidup dan mohon tangguhkan penggajian master selama satu semester. Namun selepas satu semester, modal masih belum cukup untuk sambung belajar dan mohon untuk jadi calon separuh masa, namun tidak diluluskan kerana pada masa tersebut calon separuh masa hanya untuk tutor yang berkhidmat di universiti. Jadi terpaksalah ditolak tawaran tersebut, maka teruslah aku bekerja di FRIM sehingga tahun 1996, dan selepas itu aku pindah bekerja di Bernama. Selepas bekeluarga dan kedudukan ekonomi dah stabil maka cita-cita untuk melanjutkan pelajaran diteruskan dan pada 2009 aku dah dapat tamat belajar di peringkat sarjana di Universiti Islam Malaysia.

Jadi dalam hal ini, ada beberapa keadaan yang aku nak kongsikan bersama mengapa aku tidak menyesal dengan keputusan yang aku buat. Bila aku ceritakan kepada isteri dan anak-anak aku mereka kata kalau abah terima masuk politeknik abah dah jadi engineer sekarang ni.

Jawapan aku bahawa kalau aku terima masuk politeknik dan jadi engineer, aturan hidup aku tak macam hari ini. Begitu juga kalau aku terima sambung belajar di peringkat master pada masa itu, maka keadaan akan berbeza berbanding hari ini.


Ini kerana kalau aku jadi engineer aku mungkin tak kerja di FRIM. Begitu juga kalau aku sambung belajar, maka aku kena berhenti bekerja di FRIM. Tapi itulah takdirnya, kerana diaturkan begitu, maka di FRIM aku bertemu dengan seorang gadis yang ketika itu bekerja secara sambilan menunggu keputusan SPM yang kini menjadi isteri aku. Kini aku masih di sini dan terus meniti takdir dan waktu.

No comments: