Friday, October 13, 2006

PERUBAHAN HAD LAJU PATUT JELAS, DISELARAS

(artikel ini telah disiarkan dalam Berita Harian 12 Oktober 2006 dalam ruangan Surat/Email pembaca)

Untuk mengurangkan jumlah kemalangan maut di jalan Persekutuan dan jalan negeri, penurunan had laju sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) dikuatkuasakan sepanjang musim perayaan bermula Selasa 17 hingga 15 Januari 2006.

Had laju maksimum di jalan Persekutuan kini ialah 90 km/j manakala negeri 80 km/j. Serentak itu, Kementerian Kerjaraya mengarahkan semua kerja pembinaan jalan, baik pulih lebuh raya, jalan negeri atau Persekutuan dihentikan dua hari sebelum sambutan Deepavali sehingga dua hari selepas Aidilfitri bagi kemudahan pengguna.

Menteri berkenaan, Datuk Seri S Samy Vellu yang menandatangani dokumen mewartakan pelarasan baru had laju di jalan persektuan dan negeri daripada 90km/j kepada 80 km/j, berharap langkah itu dapat mengurangkan kemalangan maut.

Penurunan had laju itu adalah lanjutan daripada cadangan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sebagai langkah untuk mengurangkan kemalangan di jalanraya khasnya ketika musim perayaan. Saya tidak ingin mengulas isu ini kerana saya pasti bahawa dengan penurunan had laju ini tidak akan memberikan kesan yang besar memandangkan faktor asasnya ialah sikap pemandu itu sendiri.

Jika diletakkan had laju 10 km/j sekalipun kalau sikap tidak berubah maka pemandu ini akan terus memecut walaupun tahu mereka mungkin dikenakan tindakan undang-undang, apa saja peraturan baru tidak akan memberikan kesan.

Namun apa yang ingin saya tegaskan di sini ialah papan tanda had laju dijalan Persekutuan dan negeri mesti cukup dan dipasang pada tempat yang strategik. Berdasarkan pengamatan saya yang selalu menggunakan jalan persekutuan khasnya daripada Rawang, Selangor hingga ke sempadan Perak dan Pulau Pinang, banyak papan tanda had laju telah hilang daripada lokasinya.

Sepatutnya sebelum sampai ke zon had laju yang baru, contohnya daripada 90 km/j ke 60 km/j, maka 500 meter sebelumnya akan diletakkan papan tanda bahawa zon had laju 60km/j di hadapan.

Ia sebagai pemberitahuan kepada pemandu agar bersedia untuk menurunkan had laju kenderaan mereka. Bila sudah sampai 500 meter maka pemandu akan dapat melihat papan tanda itu dan akan menurunkan kelajuan mereka.

Jika zon itu panjang maka selepas beberapak kilometer akan ada lagi papan tanda memberi ingatan had laju. Kalau zon itu sudah berakhir akan diletakkan papan tanda silang bererti zon had laju berkenaan tamat.

Ia akan diikuti oleh papan tanda memberitahu zon had laju yang baru seperti had laju 90 km/j. Selepas beberapa kilometer akan ada lagi papan tanda memberi peringatan had laju tertentu. Begitulah seterusnya yang sepatutnya ada di jalan persekutuan dan negeri mengikut zon had laju yang ditetapkan.

Namun saya sering bertemu keadaan yang amat mengelirukan. Contohnya bila sudah memasuki zon had laju 60 km/j khasnya kawasan persimpangan atau pekan kecil maka selepas zon berkenaan tiada papan tanda memberitahu zon had laju itu tamat.

Tiba-tiba sahaja muncul papan tanda peringatan had laju 90 km/j. Kalau keadaan begini pemandu cuma memandu di bawah had laju yang dibenarkan tetapi kalau ketika memandu dalam di zon 90 km/j dan memasuki zon 60 km/j tetapi disebabkan papan tanda itu telah hilang maka pemandu akan terus memandu mengikut had laju sebelumnya. Tiba-tiba muncul papan tanda "peringatan had laju 60 km/j" maka ketika itu pemandu mungkin sudah terkena perangkap had laju kerana memandu 90 km/j di kawasan 60 km/j walaupun dari segi teknikalnya mereka tidak bersalah kerana tidak mendapat maklumat yang tepat.

Oleh itu saya memohon pihak yang berwajib meneliti hal ini dan saya percaya melalui pelaksanaan had laju baru ni maka banyak papan tanda baru akan dipasang bagi mengantikan papan tanda had laju yang lama.

Adalah diharapkan papan tanda itu dipasang pada tempat yang boleh dilihat pemandu dan tidak mengelirukan. Kehilangan papan tanda ini adalah disebabkan kerja-kerja menaik taraf jalan-jalan persekutuan dan juga akibat kemalangan.

Namun itu bukan alasan untuk tidak mengantikannya. Pemandu akan terainaya jika dikenakan tindakan undang-undang sedangkan maklumat yang diberikan kepada mereka tidak tepat. Bersama kita menjadikan jalan raya kita selamat dan selesa ketika memandu.


Jamaludin bin Haji Ismail
Rawang, Selangor

Friday, September 29, 2006

Khasiat Kurma

Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang banyak kerana telah terbukti, di dalam Al-Quran terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma.

Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium sesuai untuk wanita sama ada semasa hamil dan selepas bersalin. Hal ini berasaskan kepada wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya memakan buah kurma ketika beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Antara Hadis dan Ayat Quran yang menyentuh mengenai kurma.
"Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu ." (AL QURAN – surah Maryam 25-26).

"Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma sewaktu hamilnya, nescaya anak yang akan lahir kelak anak menjadi yang penyabar, bersopan santun serta cerdas. Sesungguhnya makanan Siti Maryam (A.S) ketika melahirkan Nabi Isa (A.S) adalah buah kurma. Sekiranya ALLAH S.W.T. ada menjadikan buah yang lebih baik daripada buah kurma nescaya ALLAH telah memberikan makanan itu kepada Siti Maryam . - (Hadith – Sahih Bukhari).

Kurma dari kajian Saintifik oleh ahli etnomedicine dan pemakanan

Kurma atau nama saintifiknya Phoenix dactylifera L. adalah tumbuhan dari famili palma tumbuh di kawasan berpasir pada suhu yang tinggi.
Berdasarkan pada ayat-ayat Al-Quran dan hadith Rasul, para saintis giat mengkaji mengenai khasiat kurma. Mengikut kajian Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam buku "Tempoh mengandung dari segi perubatan, fiqhiyah dan perundangan", hasil kajiannya menunjukkan jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuhkan lagi urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan membantu memudahkan proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi.

Selain itu banyak kajian lain yang telah dijalankan oleh para saintis tempatan dan luar negara bagi menjelaskan mengenai khasiat tamar atau kurma. Kajian-kajian yang dijalankan oleh Profesor Madya Aisyah Mohd Zain Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia, Dr. Anwar El Mufti dari Mesir dan Dr. David Conning, penyelidik dari British Nutrirition Foundation menunjukkan bahawa kurma adalah sejenis buah-buahan yang sangat berkhasiat untuk tubuh badan manusia. Saya ringkaskan segala kajian mereka dan rangkumkan menjadi satu karangan.

Kurma mengandungi nilai karbohidrat dan kandungan gula yang tinggi. Kandungan karbohidratnya berkisar dari sekitar 60% pada kurma lembik (yang diambil sewaktu masih mentah) hingga sekitar 70% pada kurma kering (yang mengering di pohon dan terjemur matahari), manakala kandungan gulanya sebanyak lebih 70%

Kebanyakan jenis kurma mengandungi gula glukosa (jenis gula yang ada dalam darah) atau fruktos (jenis gula yang terdapat dalam sebagian besar buah-buahan). Namun terdapat satu jenis kurma yang bernama Deglet Noor yang tumbuh di California hanya mengandungi gula sukrosa (dikenal juga sebagai gula pasir).Sebahagian besar zat gula yang terdapat di dalamnya sudah dijadikan sediaada dan tidak berbahaya bagi kesihatan seperti gula yang terdapat pada buah-buahan lain yang dinamakan fruktos. Fruktos mudah dicerna dan mudah dibakar oleh tubuh. Dengan demikian akan menghasilkan tenaga yang tinggi, tanpa memerlukan tubuh untuk mengolah, mencerna, dan menjadikannya sebagai zat pemakanan. Itu sebabnya mengapa kurma dianggap sebagai buah yang ideal untuk hidangan berbuka puasa kerana apabila kita memakannya ia akan cepat membantu mengembalikan tenaga. Berbeza dengan makanan lain contohnya nasi yang mengandungi kaborhidrat yang akan diproses menjadi glukos dan sukros dan kemudiannya fruktosa. Ia melalui banyak proses tindakbalas kimia (chemical reaction) di dalam menukar rantaian molekul-molekul. Saper yang dr Sceince stream tentu ingat lagi belajr chemistry masa Form 5?

Dr. David Conning, Ketua Pengarah Yayasan Pemakanan Britain, menyatakan segelas air yang mengandung glukosa akan diserap oleh tubuh dalam tempoh 20-30 tempoh minit, tetapi gula yang terkandung dalam kurma akan cepat diserap tetapi di dalam proses yang perlahan iaitu dalam tempoh 45-60 minit. Ini bermaksud orang yang memakan banyak kurma pada waktu sahur akan menjadi segar dan lambat merasai lapar disebabkan proses penyerapan yang perlahan. Dalam setiap 100 g kurma kering mengandungi vitamin A (50 IU), tiamin (0.09 mg), riboflavin (0.10 mg), niasin (2.20 mg) serta kalium (666 mg). Zat-zat pemakanan ini berfungsi membantu menghasilkan tenaga, menjaga kulit dan saraf agar tetap sihat serta penting untuk fungsi jantung. Riboflavin dan niasin, contohnya akan membantu mengeluarkan tenaga dari makanan, sementara tiamin membantu mengeluarkan tenaga dari karbohidrat.Vitamin A dan niasin memainkan peranan dalam membentuk dan memelihara kulit yang sihat. Tiamin penting bagi sel-sel saraf, sementara niasin menjaga fungsi normal saraf.

Kurma juga mengandung banyak mineral penting seperti magnesium, potasium dan kalsium. Mineral-mineral itu sangat diperlukan oleh tubuh. Serat yang terdapat dalam kurma berfungsi menyegarkan usus dan mengaktifkannya yang akan membantu untuk memudahkan proses membuang air besar. Dalam kurma juga terdapat hormon (potuchsin) yang boleh menciutkan pembuluh darah dalam rahim sehingga boleh mencegah perdarahan rahim.

Marilah kita mengamalkannya bagi menuruti sunah Rasul s.a.w dan demi menjaga kesihatan kita.

Tuesday, September 26, 2006

Sembang Ramadhan


Kali ini kita beralih topik, takkan asyik dengan hal yang bersifat akademik je. Jiwa kita juga perlukan sesuatu santapan yang bersifat menghiburkan tetapi tak lah sampai melalaikan. Ini berkaitan kisah dalam bulan Ramadhan dan Syawal.

1. Bila Mak cik jawab salam imam

Kisah ini saya dengar di dalam radio Era pada 2 tahun lepas ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Empire Tower. Ada seorang pemanggil perempuan (kakak) menceritakan kepada Halim Othman mengenai peristiwa yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Kakak ni dia pi sembahyang terawih di surau kat rumah dia dan ketika sembahyang tu dia duduk bersebelahan dengan seorang mak cik. Waktu tu dah dekat rakaat yang hujung-hujung dan matapun dah mengantuk. Bukan kata yang tua, tapi yang muda pun sama. Ketika dalam tahiyyat akhir itu ketika imam memberikan salam "Assalamualaikum warahmatullah", mak cik tadi secara spontan menjawa salam tu " Waalaikummussallam". Kakak tu tak de le cerita reaksi dia. Cuba bayangkan anda berada di tempat makcik tu.


Teman - selalu terlelap waktu terawih


2. Bila sembahyang dua kali setahun

Ini kisah terjadi di sebuah kampung di sebelah negeri teman (tempat rahsia), berkenaan seorang pemuda yang hanya datang surau bila hari raya je. Namanya Usin (bukan nama sebenar). Bila setahun dua kali je buat memang payah le nak tau kafiatnya (cara) sembahyang. Mungkin sebab malam raya dia dok lepak ngan geng-geng yang dah lama tak jumpa, jadi dia pun tido lewat. Apa lagi bangunpun lewat le. Subuh tu sure leboh le .. Kat kampung sembahyang raya jam 8.30 pagi. Dia mai jam 8.45 pagi.. Sampai di surau, lepas ambil air sembahyang diapun celepok naik. Surau dah penuh. Dia dok kat beranda jer .. Waktu tu Khatib sedang baca khutbah ..Habis jer baca khutbah, orangpun bangun dan berselawat nabi sambil bersalam-salaman. Si Usin ni dok terpinga-pinga. "Apasal depa tak sembahyang, dia tanya kawan dia, Amat. "Hoi .. awat hang ni .. ni sembahyang raya la". kata Amat. "Aku tau la sembahyang raya takkan sembahyang Jumaat kot pagi-pagi buta", balas Usin. "Hang tau dak kalau sembahyang raya, kita buat sembahyang dulu lepas tu baru baca khutbah, bukan macam sembahyang Jumaat", terang Amat kat Usin. "Ya ka". selamber je Usin jawab. "Tu la jadinya kalau dua kali setahun mai surau", sinis Amat . "Hang jangan dok jadi Ustaz lak". balas Usin.

Selepas tu Usin dan Mamat pi la beraya kat rumah member-member depa kat kampung tu. Sejak hari tu Usin dah banyak berubah, dia amat berterima kasih kat Amat kerana banyak bantu dia dalam mendalami hal agama. Lebih-lebih lagi dia nak kahwin tak lama lagi dengan Liza (yang selalu hadir dalam mimpi dia - dalam episod Petang yang Trajis).

Teman - selalu terlupa bilangan rakaat dalam terawih



3. Janggut dan Misai

Kisah yang akan dibawa ini berlaku ketika zaman sebelum merdeka di Indonesia. Ia telah diceritakan oleh Almarhum Ustaz Datuk Fadzil Noor dalam ceramahnya pada tahun 1999 di Masjid Kampung Pandan. Ia berkisar isu perdebatan antara parti Komunis Indonesia (PKI) dengan pemimpin Nahdatul Ulama (NU), Agus Salim. Pemimpin PKI, telah diberikan kesempatan untuk berucap dulu. Sebelum meneruskan pidoatonya dia pun sebagai usaha untuk mempermainkan sunnah menyimpan janggut menuturkan ayat begini "Yang berjanggut itu kambing dan yang bermisai itu kucing". Lepas tu dia pun mulakan pidatonya. Kemudian tiba pula giliran Agus Salim untuk berpidato. Memang orang kata dalam melawan musuh, Allah akan berikan pertolongan. Maka Agus Salim itu pun sebagai membalas ungkapan pemimpin PKI tadi selamba saja menuturkan begini "Yang berjanggut itu kambing dan yang bermisai itu kucing, manakala yang tak berjanggut dan tak bermisai itu apa .. itu adalah anjing".
Para hadiran dapat melihat begitu terkedu pemimpin PKI tersebut apabila Agus Salim memberikan balasan kepada ungkapannya.

Teman - misai ada, janggut kadang-kadang